

Kualiti Komuniti
FELDA ADELA
Yang tua di santuni, kini yang muda kemudi
Persediaan AKKF
TIDAK asing lagi, kebersamaan dan kebersatuan seluruh peringkat generasi FELDA Adela adalah sesuatu yang harus dibanggakan. Ini kerana, semua lapisan siap sedia berganding bahu dalam setiap perkara tidak kira dari penyertaan program, majlis keraian, gotong-royong, bacaan yasin dan banyak lagi. Sokongan padu ini membuktikan bahawa FELDA Adela telah lama menerapkan nilai-nilai murni tidak kira generasi pertama, kedua mahupun untuk generasi yang seterusnya.





ADELA Prihatin
Kesinambungan Adela Prihatin diteruskan dengan garapan idea generasi kedua apabila bantuan diperluaskan ke rumah anak-anak yatim sekitar Johor Bahru dan juga kepada golongan gelandangan. Dana program ini disumbangkan oleh usahawan-usahawan dan individu di Felda Adela. Program Adela Feed The Homeless ini diadakan setiap tahun dan ianya telah menjadi program tradisi tahunan oleh generasi kedua.

Bagi kediaman atau keluarga peneroka yang bermasalah disebabkan kematian peneroka/penerokawati & pesakit kronik, bantuan selenggara/kewangan akan disalurkan melalui gabungan badan MPKK, GPW, MBFM, KAF, PERWANI dan RELA. Bantuan juga diperluas lagi kepada anak yatim, ibu tunggal generasi kedua dan OKU.


ADELA TRAIL RUN
Buat julung kalinya, acara besar-besaran telah direalisasikan sepenuhnya oleh anak-anak peneroka Adela iaitu acara larian Adela Trail Run (ATR). Penyertaan seramai 570 orang daripada seluruh Malaysia termasuk 14 peserta daripada Ireland, Australia, Singapura, Indonesia dan Filipina terbukti mendapat sambutan yang menggalakkan.
Di bawah kelolaan Mustafa Ahmad, program ini menjadi penyatuan pelbagai lapisan masyarakat, bangsa, budaya dan umur. Penyertaan membanggakan juga daripada kalangan peneroka dan penerokawati seluruh FELDA Wilayah Johor Bahru. ATR juga dapat menarik minat pelancong untuk datang ke Adela di mana kami dapat menyediakan pelancongan sukan dan aktiviti ini akan diadakan pada setiap tahun sebagai pesta tahunan.

SK LKTP ADELA
Hubungan baik antara pengurusan rancangan dengan sekolah sangat dititikberatkan. Penglibatan pihak sekolah dalam program rancangan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan demi mengeratkan hubungan sekolah dengan komuniti rancangan sesuai dengan motto pengurusan sekolah, 'Sederap Memperkasa SKA'. Pastinya hubungan yang baik ini akan diteruskan bagi memastikan murid-murid menikmati kemudahan infrastruktur yang baik dan selesa demi mencapai matlamat pembelajaran serta pencapaian sekolah yang cemerlang.
